...H a n y a S e b u a h C a t a t a n P e r i b a d i...

Friday, July 28, 2006

Malaysian Football

Sasaran tak masuk akal

Oleh Lokman Zainal Abidin

DALAM ranking 146 dunia, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) masih berani meletakkan sasaran 2018 sebagai tahun Malaysia beraksi di pentas Piala Dunia.

Ia seperti tidak masuk akal dan bakal menjadi bahan gurauan dari semulia-mulia Dewan Rakyat hinggalah ke sidang kedai-kedai kopi.

Namun itulah keyakinan Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Dr Ibrahim Saad, semalam.

Beliau bagaimanapun meletakkan syarat sebelum ke Piala Dunia, skuad negara harus terlebih dahulu membawa pulang pingat emas Sukan Sea 2009.

Soalnya apakah taraf Sukan Asia Tenggara itu boleh dijadikan ukuran keupayaan Malaysia sedangkan kita tidak pernah layak beraksi di pentas Piala Asia.

Dr Ibrahim menegaskan sasaran itu bukanlah suatu yang mustahil jika semua pihak tampil menghulurkan bantuan dan idea untuk merealisasikan hasrat itu.

“Dalam bola sepak, bukan hanya FAM yang bertanggungjawab tetapi kerajaan, badan bukan kerajaan, ibu bapa serta semua rakyat Malaysia perlu memainkan peranan. FAM hanya lah satu badan induk dan kita tetap berusaha untuk memajukan bola sepak di negara ini.

“Berilah kami masa. Kami sudah menetapkan Piala Asia yang bakal berlangsung Jun tahun depan sebagai kayu pengukur. Jika bola sepak negara tidak juga berubah selepas itu, maka kami terpaksa akui ada yang tidak kena dengan badan induk ini,” ujarnya.

Sebelum ini, badan induk itu melalui Timbalan Presidennya, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah meletakkan angka 2014 untuk Malaysia layak ke Piala Dunia.

Berdasarkan pencapaian skuad negara yang semakin tidak menentu, FAM berasakan perlu menambah empat tahun lagi menjadikan sasaran 2018.

Ini bermakna pucuk pimpinan FAM, termasuk Dr Ibrahim sendiri mempunyai tempoh 12 tahun lagi untuk mengotakan sasaran itu.

Ibrahim juga menyebut mengenai pentingnya program pembangunan di peringkat akar umbi terutama di sekolah rendah dan menengah di seluruh negara.

Begitupun, beliau berkata, FAM tidak mempunyai kuasa untuk mengarahkan setiap sekolah di negara ini supaya menjalankan program pembangunan bola sepak kerana ia adalah di luar bidang kuasa badan induk berkenaan

0 comments:

Post a Comment

Segala Komen Dan Kritikan Amat Saya Hargai...Terima Kasih Kawan-Kawan..muuuaaahhhhh

© nOesuhaimi, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena