...H a n y a S e b u a h C a t a t a n P e r i b a d i...

Tuesday, October 16, 2012

Kebaikan dan Keburukan Blog


Apa itu Blog?



Ini adalah petikan makna blog dalam Wikipedia:-

Blog (singkatan untuk web log dalam bahasa Inggeris) ialah sebuah laman web yang kemasukan-kemasukannya ditulis menurut urutan kronologi dan dipaparkan dengan tertib terbalik.

Blog memberikan ulasan atau berita mengenai sesuatu tajuk, umpamanya makanan, politik, atau berita tempatan, dengan sesetengah blog berperanan lebih sebagai buku harian peribadi dalam talian. Blog yang tipikal menggabungan teks, imej, dan pautan ke dalam blog, laman web, dan media lain yang berkaitan dengan topiknya. Keupayaan para pembaca untuk meninggalkan ulasan mereka dalam format interaktif merupakan ciri yang utama untuk banyak blog. Kebanyakan blog umumnya adalah blog teks, walaupun sesetengahnya bertumpu pada gambar foto (blog foto), video (vlog), muzik (blog MP3), atau audio (podcasting), dan merupakan sebahagian rangkaian media sosial yang lebih luas.

Istilah "blog" merupakan kata lakur untuk perkataan "web" dan "log" (Web log). "Blog" juga boleh digunakan sebagai kata kerja yang membawa pengertian "untuk memeliharakan atau menambahkan isi kandungan ke dalam blog."



Antara penyedia laman blog yang percuma dan popular ialah  Blogger, Wordpress dan LiveJournal.

Kebaikan Blog:-

1.  Perkongsian Maklumat

Perkongsian Maklumat merupakan salah satu kebaikan hasil dari “blogging”. Penulis blog suka berkongsi pengalaman dan pengetahuan mereka dengan pengunjung blog. Pelbagai maklumat boleh didapati di dalam blog. Ada penulis blog yang berkongsi maklumat tentang kehidupan peribadi mereka, ada yang berkongsi maklumat tentang minat mereka seperti bidang masakan dan berkongsi resepi dengan para pengunjung blog. Ada juga yang berkongsi maklumat tentang cara-cara “blogging”, cara-cara untuk menarik minat pengunjung mengunjung ke blog mereka, ada yang berkongsi tentang bidang-bidang yang mereka ceburi seperti hiburan, kesihatan, teknologi maklumat dan sebagainya. Maklumat dengan mudah diperolehi hanya dengan melayari internet dan ianya sama ada dari blog atau dari laman-laman web yang lain.

2. Boleh Menambah Kawan

Salah satu kebaikan blog ialah boleh menambah bilangan kawan di alam maya. Sekiranya penulisan di dalam blog menarik minat para pengunjung untuk terus mengunjungi blog tersebut dan memberi komen, tidak mustahil ikatan silaturrahim akan terjalin sesama mereka. Ianya berlaku apabila masing-masing mempunyai minat yang sama dan berkongsi pengalaman dan pengetahuan masing-masing dalam bidang yang diminati. Contohnya bidang fotografi, mereka boleh berkongsi tentang kamera yang mereka gunakan dan teknik-teknik mengambil gambar yang bagus dari segi pencahayaan dan sebagainya. Kadang-kadang mereka berjumpa sesama mereka untuk mengeratkan silaturahim. Ini antara kebaikan yang ketara yang dikenalpasti hasil dari “blogging”. 

3. Boleh Menjana Pendapatan

Bloggers boleh menjana pendapatan hanya dengan berblog. Ini dapat dilakukan dengan hanya mendaftar dengan mana-mana syarikat pengiklanan dan mendaftar menjadi sebagai “publisher”. Di antara syarikat yang menjalankan servis pengiklanan di Malaysia ini ialah Nuffnang, lain-lain adalah seperti Adsense (google) dan Adbrite. Tugas bloggers hanya memasukkan script publisher ke dalam blog dan “advertisers” akan memilih blog mana yang sesuai untuk mengiklankan produk mereka. Pelawat yang melawat blog tersebut dan meng’klik’ iklan tersebut akan mendapat duit. Ini jenis iklan “per klik”, setiap kali klik, akan menghasilkan duit.

4. Sebagai tempat untuk mengasah bakat

Terdapat juga blog digunakan sebagai tempat untuk mengasah bakat penulisan mereka. Ianya seperti penulisan novel bersiri atau cerpen. Penulisan yang dihasilkan akan menerima komen-komen dari pengunjung blog sama ada positif atau pun negatif. Komen yang membina dari para pengunjung akan memberi semangat kepada penulis blog untuk menulis dengan lebih baik lagi.

Keburukan Blog:-

1. Maklumat Palsu

Para pengunjung blog haruslah bijak dalam menilai sesuatu maklumat yang dipapar adalah palsu atau benar. Ini merupakan salah satu masalah yang sukar untuk dibendung. Tidak semua maklumat yang dikongsi oleh “bloggers” adalah benar. Ianya sama ada di sedari oleh penulis itu sendiri ataupun hanya mendengar dari mulut orang lain dan terus berkongsi maklumat di dalam blog tanpa membuat siasatan akan kesahihah maklumat tersebut.  Apabila ianya telah dipaparkan di dalam blog, maklumat tersebut akan tersebar dengan cepatnya. Ianya memberi impak yang buruk kepada mana-mana pihak yang terlibat dalam maklumat palsu tersebut.

2. Alat Untuk Menjatuhkan Seseorang

Keburukan ini memang tidak dapat dinafikan lagi. Ianya banyak melibatkan pihak-pihak yang terlibat di dalam politik. Blog dijadikan sebagai medium untuk menjatuhkan seseorang ahli politik. Pelbagai maklumat peribadi di paparkan dan terdapat maklumat yang ditokok tambah, ianya dengan satu tujuan iaitu untuk memastikan pengunjung blog percaya akan keburukan yang dipapar tentang ahli politik tersebut. Pengunjung blog terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat, ada yang hanya percaya bulat-bulat dan ada yang 50-50 dan ada juga yang tidak percaya malah ada yang sanggup untuk menyiasat akan kesahihan berita tersebut. 

3. Memecah belahkan masyarakat / negara

Sebagai rakyat yang tinggal di dalam negara yang dihuni oleh pelbagai kaum, sifat kepercayaan dan hormat menghormati antara satu sama lain amatlah penting. Terdapat blog yang dibina semata-mata untuk memecah belahkan keharmonian rakyat di negara ini.  Isu-isu sensitif yang melibatkan perkauman dibincangkan secara terbuka tanpa mengira impak yang akan di hadapi oleh masyarakat dan negara khususnya. Isu-isu ini boleh mengguris hati sesetengah kaum dan berkemungkinan akan menimbulkan sikap tidak puas hati, dendam kepada kaum yang lain. Ini amat merbahaya kepada keharmonian sesebuah negara. 


4. Sebagai Alat Untuk Penyebaran Unsur-unsur Tidak Bermoral

Terdapat orang perseorangan  yang menggunakan blog sebagai alat untuk menyebarkan unsur-unsur tidak bermoral seperti gambar-gambar dan video-video lucah di dalam blog mereka. Di samping itu cerita-cerita lucah juga di paparkan juga. Sekiranya blog ini dilawati oleh para remaja ataupun kanak-kanak, ianya memberi kesan negatif kepada mereka.

Ini adalah antara kebaikan dan keburukan blog. Sekiranya ada pertambahan bolehlah dikongsi bersama. 

2 comments:

Segala Komen Dan Kritikan Amat Saya Hargai...Terima Kasih Kawan-Kawan..muuuaaahhhhh

© nOesuhaimi, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena